Memilih Pasangan
Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com
http://ukhwah.com/
Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan
wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya.
Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia
hendaklah masuk meminang dan berkahwin. Langkah itu bukan sahaja membawa kepada
pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya
daripada keburukan dan maksiat.
Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana
sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga
menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila
hubungan berkenaan dengan sekadarsuka-suka, tidak membawa kepada pernikahan.
Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan
tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir
dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.
Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci
kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah
Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat
kelak.
Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai
persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam
berumahtangga.
Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri
sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan
hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak
mulia serta mempastikan sama ada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai
lagi.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana
kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana
hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana
agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi
beragama adalah lebih baik."
Baginda bersabda lagi yang maksudnya:
"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya
dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni
ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa
yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi
rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."
Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw
menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calon isteri orang yang beragama
serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan
akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.
Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan
akhlaknya antaranya ialah:
1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan
bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada
Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa
bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima
ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.
2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus
rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.
3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta
membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada
kebaikan dan keredhaan Allah swt.
4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat
sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan
memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.
5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan
suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan,
menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.
Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan
yang kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. Seseorang wanita yang kuat
agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi.
Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita
yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan
kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang
lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat
Allah yang besar.
Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu
Abbas . a:
"Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya
bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang
selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga
yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa
serta tidak menzalimi suaminya."
Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam
golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan
sebahagian daripada sifat- sifatnya oleh Rasulullah saw:
"Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya
bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah
seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya
tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia
menyimpan rahsia dan harta suaminya."
Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang
suami jika ia memiliki isteri yang solehah.
Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada
keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan
persaudaraan Islam.
Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan
anak-anak yang tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan
orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan
anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
"Janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat,
maka sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran dan
akal."
Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk
dijadikan isteri berbanding dengan janda. Rasulullah saw bersabda:
"Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu
menarik tutur bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang dalihnya dan
mudah meredhai kerjanya."
Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk
dijadikan isteri kerana setiap perkahwinan berkehendakkan sesuatu hasil
penguniaan anak yang soleh dan solehah.
Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah
seorang lelaki itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal isterinya
agar dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang keuzuran yang boleh
menghalangnya dari mengandung dan bersalin.
Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu,
pada umumnya boleh dijadikan ibunya sebagai perbandingan.
Seandainya ibunya mempunyai ramai anak, pada kebiasaannya gadis itu pun akan
mewarisi ibunya, tetapi tidak semua tanggapan ini benar, kadang-kadang mengikut
baka dirinya pula.
Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah
tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan bahagianya
sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil kasih sayang antara
kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki
memilih calon isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda:
"Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak
anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku dihadapan para Nabi
pada Hari Kiamat nanti."
Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya, baginda
bangga dengan umat yang ramai kerana di situlah letaknya kekuatan agama Islam.
Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang
telah dipinang saudaranya, kerana bererti ia menyerang hak dan menyakiti hati
peminang pertama, memecah belah hubungan
kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman. Rasulullah saw
bersabda yang maksudnya:
"Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak
boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya, dan meminang pinangan
saudaranya sebelum ia tinggalkan."
Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk
dipadankan dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih
gadis.
Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu
apabila janda pula menjadi yang utama. Misalnya, untuk
menyelesaikan masalah perlindungan kepada janda dan anak-anak.
Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang, sebab
itulah pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau
sekufu. Firman Allah swt yang bermaksud:
"Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan
dengan perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik.
Dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan
oleh lelaki yang berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu
haram terhadap orang yang beriman."
"Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang
jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang
jahat, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki
yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik."
Ayat di atas patut menjadi iktibar, terutama kepada para
lelaki dan wanita yang ingin berkahwin. Kepada yang sudah berumahtangga,
ambillah iktibar ini dan muhasabah kepada diri kita kembali apabila menghadapi
masalah dalam rumahtangga dan mengapa Allah swt pertemukan jodoh kita dengan
pasangan kita sekarang.
*peringatan untuk diri sendiri. InsyaAllah :) *